Jumaat, 28 Jun 2013

PENYELENGGARAAN PERKAHWINAN PUAK MELAYU BRUNEI: BEBERAPA PENGHAKISAN BUDAYA TRADISIONAL

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
Haji Md Hussain Abdul Rahman- Brunei Darussalam

PENDAHULUAN
Kertas ini ingin mengetengahkan beberapa aspek budaya yang semakin terhakis dalam penyelenggaraan perkahwinan puak Melayu Brunei.  Penelitian yang bersifat sedarhana  ini didasarkan kepada pandangan mata, pengalaman menghadiri majlis-majlis perkahwinan dan imbasan dari kerja membuat liputan video majlis perkahwinan.  Walaupun sederhana, ringkas dan kurang mendalam, pendekatan Kertas ini cuba mengelak sifat “sambarana”.
Majlis perkahwinan puak Brunei melalui beberapa peringkat.  Dari jangkamasa berminggu-minggu, durasi penyelenggaraannya sekarang dipermudahkan menjadi minimum empat hari dan ada pula yang cuma tiga atau dua hari.  Kita akan melihat beberapa peringkat itu dan menunduki pelbagai perlakuan budaya yang tidak lagi dipakai dan terhakis dan ada pula yang sudah diganti dengan gaya baru. Dengan cara begini kita dapat menilai paradigma dan kedinamisan sosialisasi masyarakat Melayu Brunei umumnya dan puak Melayu Brunei khususnya.
Antara peringkat-peringkat yang dilalui dalam proses mendirikan rumahtangga  ialah:
Besarang Gundi
Besuruh/Merisik dan Berjarum-Jarum.
Menghantar Tanda Barian
Malam Berjaga-Jaga
Berbedak Mandi
Menghantar Badak dan Pacar
Malam Masuk Babadak
Bepacar
Masuk Peraduan
Majlis Akad Nikah
Mandi Belangir
Makan Behias
Majlis Betimbang/Bersanding
Beambil-Ambilan
Mulih Tiga Hari


BESARANG GUNDI

Jauh sebelum membuat keputusan untuk menyunting bakal menantu, keluarga lelaki akan menghantar seseorang (biasanya perempuan) untuk melihat pandangan pihak perempuan terhadap lelaki atau keluarga lelaki yang bakal menyunting si anak dara.  Proses itu dijalankan tanpa pengetahuan pihak perempuan.  Utusan yang dihantar akan bergaul seperti biasa dengan pihak keluarga perempuan dan juga gadis yang bakal disunting.  Dalam pergaulan itu akan di dapatkan maklumat secara tersemunyi tentang pandangan keluarga perempuan terhadap keluarga lelaki.  Maklumat ini disampaikan kepada pihak keluarga lelaki.  Bila  pandangan itu positif maka dirancanglah bagi mengadakan majlis selanjutnya iaitu Majlis Besuruh/  Bejarum-Jarum.

Besarang Gundi sudah jarang dilakukan atau mungkin sudah tidak dilakukan.  Malah di kalangan masyarakat baru ada yang langsung tidak mendengar istiadat ini.  Proses pemodenan dan sosialisasi menyebabkan pasangan yang hendak berkahwin membuat keputusan sendiri untuk mendirikan rumahtangga tanpa melibatkan pihak ketiga (orang suruhan).

BESURUH /BEJARUM-JARUM

Besuruh ialah peringkat pertama pertemuan antara keluarga lelaki dan keluarga perempuan.  Tidak ramai.  Jumlahnya antara empat dan lima orang pada setiap pihak ketika acara besuruh diadakan.  Fungsi majlis ini ialah untuk merisik/mengetahui samada gadis yang dihajati itu sudah mempunyai calon suami atau sudah berkawan. Jawapan tidak akan diketahui pada ketika itu. Rombongan lelaki mohon  pulang dan akan kembali semula menemui keluarga perempuan setelah mendapat risikan bahawa hasil besuruh itu mendapat jawapan positif.  Pemergian ulangan ini dikenali sebagai berjarum-jarum.  Jika risikan mendapati pihak perempuan tidak berkenan, maka proses berjarum-jarum tidak diadakan.  Proses itu tamat di situ.

Bahasa ketika besuruh dan bejarum-jarum mempunyai makna yang berlapis.  Ini menghendakkan pembicara termasuk indung bapa mengetahui makna  bahasa terlindung ini. Di majlis itu kedengaran ungkapan seperti “kan mendangani menungkat gelagar mumut”  atau “menuhur atap yang bubus.” Dalam majlis ini juga kedengaran ungkapan-ungkapan pantun seperti:

Memang bisai bunga di taman
Patah selasih daun sebuting
Ingin memetik kenanga idaman
Apakah masih alum disunting.

Hendak ke Daik tiada yang tau
Ke rimba utan bawa dagangan
Petanda baik ada yang mau
Amba tadahkan kedua tangan

Dalam situasi baru, “chief de mission” atau ketua rombongan perlu mengetahui keadaan-keadaan semasa bagi menggantikan ungkapan-ungkapan “kan mendangani menungkat gelagar mumut”  atau “menuhur atap yang bubus”.  Perambahan-perambahan ini juga patut mengalami perubahan dan penyesuaian. Sebabnya waimapun tinggal di kampung air, kerja-kerja menungkat ini sudah jarang
dilakukan.  Rumah-rumah sudah bertiang batu/simen.  Kalaupun ada yang masih menggunakan penyucuk kayu Kulimpapa atau Bulian, kerja menungkat ini sudah diambil alih oleh golongan professional yang kerjanya hanya membuat/mengganti tiang-tiang kayu yang sudah reput.  Mana mungkin orang muda masa ini bersedia turun ke tanah licak.  Tentu saja dia bergelurat menghadapi biangsung dan kapang di tiang-tiang lama.

Begitu juga halnya untuk mendangani “menuhur atap yang bubus”.  Kerja menuhur atap adalah kerja kalangan masyarakat yang menggunakan daun nipah sebagai atap rumah.  Itu sering mereka lakukan di zaman dulu.  Masa ini golongan pakar menuhur atap itu sudah berkurangan.  Semantalahan pula atap masa kini diperbuat dari genting.

MENGHANTAR TANDA BARIAN

Penentuan indah-indah yang menjadi barang barian dipermaklumkan kepada pihak lelaki dalam majlis berjarum-jarum.  Dalam majlis itu juga ditentukan tarikh rombongan menghantar barian pihak lelaki.  Tujuannya ialah bagi memudahkan di pihak perempuan menyambut rombongan yang terdiri dari sanak saudara pihak lelaki.  Ketentuan itu juga penting supaya memberi ruang pada pihak perempuan menyediakan balasan.

Biasanya indah-indah barian diletakkan atas gangsa.  Gangsa puak Brunei diperbuat dari logam tembaga berbentuk bulat, berkaki dan dibuat dalam pelbagai saiz dan ukuran.  Indah-indah barian itu dibawa oleh serombongan pemudaan yang berpakaian lengkap baju Melayu, bersongkok dan bersinjang.  Cara memegang gangsa juga harus diketahui supaya sebelah tangan tidak menanai bahagian bawah kaki gangsa.  Perbuatan tersebut melambangkan status dara yang dipinang. Bagi masyarakat lama cara memegang gangsa itu saja boleh memberi makna samada gadis yang dipinang adalah seorang anak dara atau sebaliknya.  Gangsa juga dipandang tinggi.  Maka itu benda-benda seperti kasut tidak harus diletakkan di atas gangsa.

Antara indah-indah yang disampaikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan ialah:

Pembuka mulut
Mas kahwin
Tanda kasih
Belanja dapur/belanja hangus
Melangkah laut/sungai
Melangkah dulang
Tabus bangsa

Pembuka Mulut.  Wang semacam bayaran bagi memulakan perbincangan.  Wang Pembuka Mulut itu bagaikan kunci kepada majlis.  Di masa lalu, ada keluarga perempuan terus “mungu” (tidak mengeluar suara) sehinggalah Pembuka Mulut diunjuk. Pembuka Mulut boleh disampaikan pada Majlis Berjarum-Jarum. Jika dilakukan pada majlis itu, perbincangan dapat diteruskan dalam majlis Menghantar Barian tanpa sekatan.

Tanda Kasih:  Ini ialah pelbagai jenis barangan sebagai hadiah kepada pihak perempuan.  Pada masa ini tanda kasih ini dikepalai dengan hantaran kitab Al Qur’an dan Kain Jong Sarat serta Gubahan Sirih.  Lain-
lain barang termasuk pakaian sepengadak, kasut, kain, haruman, barang kemas dan lain-lain.  Penulis pernah terserempak dengan tanda kasih berupa sebuah kereta.  Pada plat kereta itu tertulis Tanda Kasih yang dipandu beriringan dengan rombongan yang membawa gangsa hantaran.

Mas Kahwin.  Juga dikenali sebagai barian yang nilainya antara seratus ringgit hingga lima ratus ringgit.  Barian ini adalah pemberian pihak lelaki pada perempuan  sebagai pengikat hubungan.  Pada masa ini barian diletakkan di sisi pengantin lelaki semasa majlis Akad Nikah dan majlis penyerahan barian kepada pengantin perempuan berlangsung sebaik-baik saja majlis Akad Nikah selesai.

Belanja Dapur.  Juga dikenal sebagai Belanja Hangus.  Ada juga yang menggelarnya sebagai Belanja Serba Guna. Belanja Dapur biasanya digunakan bagi penyelenggaraan majlis kahwin (persandingan).  Maka itu jumlahnya agak tinggi antara empat ribu hingga tujuh ribu riggit. Penulis pernah menghadiri majlis menghantar barian yang mengunjuk wang berjumlah dua belas ribu ringgit.

Melangkah Dulang .  Ini ialah sagu hati kepada kakak atau abang si wanita yang hendak berkahwin.  Dalam masyarakat lama sebaiknya anak yang lebih tua yang dulu berumahtangga.  Jika ini tidak dipatuhi yakni sang lelaki mahu mengahwini si adik, maka semacam “denda” dikenakan yang disebut sebagai Langkah Dulang.

Langkah Sungai:  Perkahwinan di zaman lalu berlangsung dalam kelompok yang sama yang biasanya bermastautin di kawasan yang sama. Maka jika ada lelaki yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga dengan insan yang di luar dari kelompok mereka seperti yang berada di seberang sungai atau laut maka si lelaki itu akan dikenakan “denda” yang digelar Melangkah Sungai atau Langkah Laut.

Tebus Bangsa. Perkahwinan zaman dulu berlangsung dalam kelompok yang sama.  Jika seorang kebanyakan berpangkat awang ada hati untuk megahwini seorang yang berpangkat Dayangku, maka  lelaki itu akan diminta satu bentuk bayaran tebusan yang dikenali sebagai Tabus Bangsa.  Jumlah Tabus Bangsa tertakluk kepada keluarga perempuan. Anak yang lahir dari perkahwinan sebegini akan menzuriatkan keturunan yang tidak lagi bertarasulkan awangku atau dayangku.

Masa kini belanja langkah sungai dan tabus bangsa sudah jarang diminta walaupun sekali sekali kita terserempak dalam majlis Menghantar Barian di mana bayaran Melangkah Dulang juga diminta. Sosialisasi dan perubahan masyarakat menjadikan hubungan lelaki dan perempuan menjadi akrab di mana pemilihan indah-indah yang akan menjadi hantaran dalam Majlis Menghantar Barian adalah atas persetujuan bersama.  Tentu saja membazir jika menghantar fesyen kasut yang mungkin ketinggalan zaman atau saiznya tidak menepati ukuran kaki pasangan.

MALAM BERJAGA-JAGA

Beberapa minggu sebelum diadakan Majlis Bersanding, keluarga kedua pihak mengadakan perayakan bagi meraikan majlis itu.  Sanak saudara diundang.  Diadakanlah pelbagai mainan dalam seperti  permainan Catur, Congkak, Pasang dan acara-acara seperti Menambang Shair, Bernaindung dan Pancak Silat. Acara-acara traditional ini sudah tenggelam dan diganti dengan permainan pancaragam, Gambus, Mukun yang disertai dengan penari-penari dan persembahan karaoke.  Masing-masing cuba mengetengahkan suara walaupun sumbang dan seperti suara angsa.  Yang penting yang hadir terhibur.  Sudah jarang kedengaran orang tua-tua Berdundang dengan Rebana Besar.  Sekarang diganti dengan orang dewasa menari Poco-Poco.
BARBADAK-BADAK MANDI

Istiadat ini juga digelar sebagai Mandi Belulut.  Masing-Masing keluarga memanggil sanak saudara terdekat untuk membadaki dan melulut pengantin yang dilaksanakan oleh keluarga tua.  Bedak yang digunakan diperbuat dari beras yang ditumbuk dan dicampurkan dengan pelbagai ramuan seperti pucuk, ganti, masuri, candana, cakur, petali air dan petamu kunci.  Ramuan itu adalah pengharum kepada beras yang ditumbuk.  Untuk meningkatkan keharuman, ramuan itu diraksi atau ditangas dengan asap kemenyan bercampur dengan minyak harum serta bunga-bungaan seperti bunga malur dan bunga gambir.  Juga dibuat ialah parasang yang diperbuat dari beras yang ditumbuk kasar.  Parasang digunakan sebagai pelulut badan pengantin.  Mengikut pantang larang,  pengantin lelaki dan perempuan tidak dibenarkan keluar rumah kerana ditakuti haruman itu akan libas.  Makan minum pengantin disajikan di bilik pengangunan.  Kedua mempelai biasanya memakai baju dan kain berwarna putih.

Majlis Berbedak Mandi masih dilakukan masa kini tapi dilihat sebagai memenuhi kehendak orang tua-tua dan bukan sebagai ritual.  Muka-muka yang dilulut di gambar  dan dihantar dengan menggunakan telefon bimbit ke pasangan masing-masing dan dijadikan peibunan.  Malah ada pasangan yang berjumpa, keluar rumah dan berpelisiran di toko-toko selepas upacara babadak mandi.  Pantang larang sudah tidak berkesan.   

ISTIADAT MENGHANTAR BADAK DAN PACAR (INAI)

Istiadat ini adalah pertukaran barangan bagi Majlis Barbadak dan Bepacar.  Pihak lelaki akan menghantar orang tua-tua bersama tiga orang kanak-kanak laki-laki serta gangsa yang berisi pelbagai ramuan seperti

Badak
Limau Kapas langir
Dian damit
Dian basar yang dibungkus dengan kain putih
Bunga gambir dan bunga malur
Perasang untuk belulut ladan dan cindana

Pihak perempuan akan membalas hantaran setelah mengetahui tarikh Majlis Babadak pengantin lelaki.  Demikian halnya bila menjelang Majlis Bapacar (berinai). Akan berlangsung berbalas-balas hantaran. Penulis ingat-ingat lupa pengalaman menghantar badak dan pacar ini.  Apakah juga dihantar bersama Bunga Lapik Pinang.

BUNGA LAPIK PINANG

Penghantaran Bunga Lapik Pinang ini berlangsung dalam suasana yang yunik. Tongkang atau perahu yang membawa Bunga Lapik Pinang tidak terus merakit di rumah pengantin perempuan.  Orang-orang dari pihak perempuan akan menyuraki rombongan itu. Rombongan Bunga Lapik Pinang akan beredar dan cuba merakit pada kali kedua di mana mereka akan di sorak sekali lagi.  Demikian proses itu berlangsung empat lima kali sebelum rombongan pembawa Bunga Lapik Pinang dibenarkan naik ke rumah pengantin perempuan. Terdapat juga versi di mana Bunga Lapik Pinang dijadikan kepala hantaran semasa Majlis Menghantar Barian.

Bunga Lapik Pinang ialah tapak sirih yang berisi kain putih beserta sebentuk cincin.  Kain putih ini diletakkan di atas katil pengantin pada malam ketiga selepas hari bersanding.  Cincin menjadi milik pengangun.  Sayugia juga diterangkan bahawa pengangun akan terus berdamping dengan pengantin perempuan sehingga hari ketiga selepas hari persandingan. Pada malam ketiga  tersebut berlangsung pula apa yang dikatakan sebagai “berlangsungan” yang membawa maksud suami isteri memainkan peranan pada malam mereka disatukan.  Pada malam tersebut pengangun meletakkan kain putih di atas katil pengantin. Dengan berbuat begitu kedua-dua pengantin akan memahami maksud yang tersirat.  Pengantin ditinggalkan berdua-duaan untuk memfungsikan peranan suami isteri.

Pada masa ini sudah tidak ada adat menghantar Bunga Lapik Pinang.  Penghantaran dan perletakan Bunga Lapik Pinang di katil pengantin dianggap sebagai menerubusi soal-soal yang hanya kedua pengantin patut tahu. Mana boleh kain putih yang bertukar menjadi warna merah diperlihatkan kepada khalayak waimapun kepada ahli keluarga lelaki.

MAJLIS MALAM BARBADAK

Upacara dijalankan pada sebelam malam.  Pengantin dihias dengan memakai pakaian tradisional. Pengantin perempuan mengenakan bunga guyang di kepala dan aksesori berkaitan.  Pakaian adalah dari tenunan kain Brunei.  Pengantin mengapit kain Jong Sarat. Antara bunga atau cura kain yang popular ialah Si Pugut, Si Lubang Bangsi, Sukmaindera dan lain-lain.

Dalam Majlis ini keluarga terdekat dan dikira golongan orang tetua menculiki badak tujuh warna ke tangan pengantin.  Biasanya bilangan yang menculiki ini cuma dalam tujuh orang.   Orang-orang yang digalati membaca doa sebelum mencecahkan badak ke tangan pengantin.

Pengalaman penulis sendiri belum terjawab sehingga hari ini semasa melalui Majlis Babadak di Kuala Penyu Sabah hampir empat puluh tahun lalu.  Ada seorang orang tetua dari kalangan yang menculiki badak itu mencecahkan badak di ibu jari kaki dan bukan di tangan.  Kenapa?  Itu yang masih menjadi misteri penulis.  Kata orang, kawasan Kuala Penyu itu ada tinggal penduduk yang “berisi”  dan mereka ini boleh mengganggu dan boleh juga melancarkan majlis.  Cerita-cerita ada di dengar tentang bagaimana nasi yang ditanak tidak masak atau daging tidak mendidih walaupun berjam-jam sudah diletakkan di tambak.  Terdapat juga cerita bagaimana ada kalangan yang dapat memindahkan kemaluan ke tempat yang tidak sepatutnya dan orang yang terkena itu supan pula untuk memberitahu orang lain.  Walau bagaimanapun ini adalah cerita lama.

Di dalam masyarakat puak Brunei, pengantin perempuan biasanya didudukkan bertimpuh di pelaminan terdiri dari bantal bersusun.  Pengantin itu akan didukung oleh indungnya atau saudara terdekat  ke atas pelaminan.  Semasa diangkat pengantin menutup muka dengan kedua telapak tangannya.  Istiadat menculiki badak pengantin diiringi dengan dikir marhaban. Pembawa dikir akan membawakan lagu-lagu Hairuman, Bisyahrin, Alhamdulillah, Tanakal dan Badat sebelum berdiri membaca surah Asyrakal. Bila bacaan sampai ke ayat Ya Habibi barulah proses menculiki itu dimulakan.

Masa kini masih ada budaya lama yang masih dipraktikkan misalannya pengantin memakai pakaian lengkap keBruneian, membaca dikir dan menculiki badak.  Cuma bilangan yang menculiki itu tidak terhad kepada orang tua-tua.  Ramai yang mengambil peluang termasuk kawan-kawan pengantin dari kalangan orang muda sehingga kadang-kadang majlis ini berlarutan menyebabkan bacaan dikir melimpasi ayat-ayat lazim. Setiap penculik dihadiahkan dengan buah tangan.  
MAJLIS BAPACAR

Pacar dalam bahasa biasa adalah inai.  Dalam majlis perkahwinan opuak Brunei, berinai atau berpacar cuma sekali.  Tiada inai kecil atau inai besar seperti yang berlangsung di Malaysia.  Majlis berpacar sama seakan majlis babadak.  Cuma kehadiran tamu tidak ramai.  Hanya sekadar saudara mara yang rapat. Tamu-tamu akan mengubit sedikit paste pacar dan meletakkannya di tapak tangan pengantin yang duduk di pelaminan. 

Selesai majlis di pelaminan pengantin mengganti pakaian dengan memakai pakaian serba putih dan mulalah proses memacari pengantin.  Bapacar ialah mewarnakan jejari tangan dan kaki dengan pacar yang dibuat dari daun pacar.  Daun ditumbuk menjadikannya paste.  Semasa membubuhnya di jejari atau kaki,  pacar diadun dengan air asam.  Biasanya kerja-kerja memacar ini dilakukan oleh kalangan tua. Paste pacar dibiarkan buat beberapa jam sebelum dilarak dan tangan serta kaki dibasuh.  Kesannya jejari tangan dan kaki kelihatan merah tua.

Masa kini ada mempelai yang mengelak untuk dipacari.  Mereka mahu menutup tanda perkahwinan mereka. Alasannya kesan merah itu akan kelihatan buat beberapa waktu sebelum pudar dan hilang.   Dalam pada itu terdapat juga trend mempelai menggunakan pacar dari India yang dibentuk mengikut kesukaan seperti bentuk bunga atau ukiran-ukiran.  Ini lebih merupakan fesyen dan bukan budaya perkahwinan puak Brunei.

MASUK PERADUAN

Peraduan itu ialah bilik tempat tidur pengantin. Budaya masuk peraduan ini juga sudah terhakis.  Biasanya dilakukan selepas Majlis Babadak atau Majlis Berpacar. Pengantin perempuan disikut oleh pengangun dan dibawa bergerak mengelilingi bilik pengantin sebanyak tiga kali.  Setiap kali pusingan pengantin dan pengangun duduk di atas katil dan membaca doa.  Di akhir pusingan pengantin bersalaman dengan ibu dan bapanya dan juga saudara terdekat seperti nenek dan patuan.  Doa selamat dibaca oleh pengangun bagi menutup Majlis Masuk Peraduan.

MAJLIS AKAD NIKAH

Majlis Akad Nikah biasanya diadakan pada sebelah siang dan dihadiri oleh kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan.  Majlis ini lebih bersifat keugamaan. Khutbah nikah dibacakan oleh seorang imam yang mendapat tauliah dari Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi melaksanakan pernikahan tersebut. Lazimnya wali siperempuan berwakil kepada juru nikah untuk melaksanakan tugas pernikahan.  Persetujuan dari pihak yang hendak dinikahkan juga perlu ada.  Dua orang saksi rasmi dilantik dan di catet namanya dalam borang pernikahan.

Di masa lalu, berlaku perakuan menerima akad berulang-ulang kerana pengantin  lelaki tidak dapat menyambut akad nikah dengan betul, gugup dan tersekat-sekat.  Pada masa ini keadaan itu sudah berkurangan kerana adanya kursus dan juga pendidikan pengucapan awam di pihak lelaki.


Setelah selesai majlis pernikahan, pengantin lelaki bersalaman dengan hadirin.  Begitu juga pengantin perempuan bersalaman dengan tetamu wanita. Pada masa ini majlis akad nikah disusuli dengan istiadat membatalkan air sembahyang dan majlis menyarongkan cincin antara kedua mempelai.  Ada juga kalangan yang menyempurnakan pemberian wang barian dari pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dilakukan di hadapan tetamu yang menghadiri majlis akad nikah itu.

Sekarang trend baru muncul di mana ramai memilih pernikahan dilangsungkan di mesjid-mesjid.  Begitupun sajian masih diadakan selepas selesai majlis Akad Nikah  samada ditempatkan di luar mesjid atau di foyer tanpa menganggu fungsi utama mesjid sebagai tempat beribadat.

MANDI BELANGIR

Pada awal pagi sebelum upacara bersanding diadakan, pengantin menjalani istiadat dikenali sebagai Mandi Pengantin.  Langir adalah sejenis tumbuhan, diperah bagi mengeluarkan air yang dapat membersihkan badan dan rambut.   Biasanya orang yang memandikan ialah individu yang mahir dalam bidang itu.  Tujuannya ialah sebagai pendinding daripada perbuatan jahat.  Individu itu  akan menjampi yang kononnya dapat menjadi perisai kepada pengantin. Mungkin istiadat ini lebih kepada menanamkan perasaan yakin diri memandangkan persandingan akan berlangsung di hadapan khalayak ramai.  Pengantin duduk berlunjur menghadap matahari naik dan dikelilingi oleh kanak-kanak di setiap penjuru dengan memegang dian.  Selepas mandi, muka pengantin di alis terutama di bahagian kirai supaya mengangkat ketrampilan wajahnya.

Adapun yang mengikuti istiadat ini pada masa ini hanya sebagai memenuhi adat.  Pengantin akan mandi tetapi tidak menggunakan langir.  Sebaliknya dia menggunakan sabun dan shampoo yang dijual dikedai.  Pengantin masa kini biasanya sudah bersedia untuk menghadapi khalayak.  Mereka dibekalkan dengan ilmu-ilmu komunikasi dan perhubungan awam semasa menjalani kursus perkahwinan.

MAKAN BEHIAS

Makan behias khusus untuk pengantin sebelum Majlis Bersanding.  Pengantin menikmati semua juadah yang disajikan dalam gansa.  Dia mesti menjamah setiap jenis makanan itu sebagai tanda syukur dan murah rezeki dimulai dengan meneguk air dan ditutup dengan menyacah sira .

PENGANGUN

Pengangun dalam adat perkahwinan puak Brunei adalah personaliti yang mengurus dan memastikan adat istiadat perkahwinan dipatuhi.  Pengangun membimbing pengantin dalam hal yang bersangkutan dengan alam perkahwinan dan kehidupan suami isteri.  Biasanya pengangun ialah seorang wanita yang  berumur dan tahu tentang hukum ugama Islam.  Pada kebiasaannya pengangun tinggal di rumah pengantin sehingga selesai adat Mulih Tiga Hari.

Pada masa ini fungsi pengangun  sudah banyak diambil alih oleh institusi rasmi.  Pelajaran ugama dan alam rumahtangga disampaikan dalam kursus-kursus perkahwinan yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama yang wajib dihadiri oleh bakal pengantin.  Dalam hal-hal lain urusan perkahwinan dijalankan oleh Wedding Planner atau Perancang Perkahwinan professional.


PENGGARUSAN

Ada suatu amalan yang sampai sekarang penulis kurang maklum fungsinya. Amalan itu ialah meniup lilin kecil sebanyak tiga kali setelah panggarusan di putarkan di leher pengantin. Panggarusan itu ialah benang tujuh warna yang dililitkan di leher pengantin. Hujung benang itu disatukan setiap kali lilitan dan ditunu dengan menggunakan dian kecil.  Pengantin mesti memadamkan api dian bersama benang tujuh warna dengan sekali hembusan atau tiupan.  Perbuatan itu dilakukan sebanyak tiga kali.  Setelah selesai benang itu dililit pada dian dan ditepukkan ke bahu pengantin.

BETIMBANG ATAU BERSANDING

Klimaks kepada majlis perkahwinan puak Brunei  ialah Majlis Betimbang atau Majlis Persandingan.  Majlis Betimbang atau Persandingan ini dibuat dua kali.  Sekali pada sebelah siang semasa kehadiran para jemputan dan sekali pada sebelah malam.  Persandingan sebelah malam hanya dihadiri oleh keluarga terdekat di dikenali sebagai Majlis Ambil-Ambilan.  Saya akan memperkatakan beberapa perubahan dalam majlis Persandingan ketika ini.  

Dalam perkahwinan masyarakat dulu pengantin lelaki diarak beramai-ramai. Contohnya jika berlaku di kampung air pengantin lelaki didudukkan atas kapal atau tongkang dan diarak mengeliling kampung air sebelum menuju ke rumah pengantin perempuan.  Pengantin lelaki dipimpin oleh seorang tua.  Sebelum masuk ke rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki diarak sekali lagi secara bulatan yang dikenali sebagai Berpusing Naga. Berpusing Naga ialah simbol berjaga-jaga.  Orang yang menunda pengantin bukan calang-calang orang kerana dia juga harus mempunyai ilmu pendinding yang tinggi bagi menangkis sebarang perbuatan jahat.

Sampai di pelaminan penunda pengantin mempunyai satu lagi tugas iaitu menjawab pantun-pantun yang dijual oleh pengangun.  Pantun itu perlu dijawab sebelum penutup muka pengantin perempuan disingsing.  Biasanya penutup muka pengantin adalah dari kain kasa.

Pengantin pun ditimbangkan yakni disandingkan dan salawat dikumandangkan yang disusuli dengan bacaan doa.  Selepas itu kedua mempelai dibawa keluar bagi diperlihatkan kepada sanak saudara dan para tetamu.  Terdapat pantang larang yang dikawal oleh pengangun di mana mempelai tidak boleh keluar melimpasi pemantung rumah.


MAJLIS AMBIL-AMBILAN

Pada sebelah malam hari persandingan keluarga pihak pengantin lelaki mengantati ke rumah pengantin perempuan dengan pelbagai makanan, lauk pauk untuk sajian pengunjung ke Majlis Ambil Ambilan. Kedua mempelai mengenakan pakaian yang berlainan dengan pakaian yang dipakai semasa persandingan waktu siang.  Setelah siap berpakaian pengantin lelaki pergi ke bilik pengantin perempuan dan menunda isterinya ke pelaminan.   Majlis Ambil-Ambilan dilihat sebagai memesrakan lagi kedua mempelai.  Anak-anak muda, teman kepada mempelai akan mengusik pengantin misalnya merangsang pengantin lelaki untuk mengusai rambut isterinya yang terjuntai atau melap peluh di dahi.  Bila ini dilakukan anak-anak muda bersorak ria.  Pengantin tidak akan memberi respons dengan bersuara.  Mereka hanya menguntum senyum.

Masa kini majlis Ambil-Ambilan kadang-kadang tidak dibuat.  Mungkin kerana kesibukan sanak saudara yang bermastautin bertaburan di seluruh negeri.  Lagi pula kedua mempelai sudah begitu mesra dan tidak perlu ada acara bagi memesrakan mereka.  Ada juga yang mempertimbangkannya dari segi buget.  Pemotongan satu acara ini sudah tentu mengurangkan perbelanjaan.


MAJLIS MULIH TIGA HARI

Majlis penutup dalam penyelenggaraan Majlis Kahwin puak Brunei ialah Majlis Mulih Tiga Hari. Pada hari ketiga sebelah siang, pengantin lelaki mulih ke rumahnya dengan diiringi oleh beberapa orang.  Pengantin lelaki akan kembali ke rumah isterinya pada sebelah malam di hari yang sama dengan diiringi oleh sanak saudara.  Bersamanya dibawa indah-indah berupa barang dapur seperti beras, gula, asam sira, tapung dan lainnya.  Pengantin lelaki juga akan membawa buah tangan dan hadiah untuk isterinya seperti gelang emas, cicin dan rantai. Majlis diakhiri dengan pengantin bersalaman dengan  sanak saudara dan ditutup dengan bacaan doa selamat.

Majlis Mulih Tiga Hari pada hari ini dipandang sebagai majlis opsional; boleh dibuat dan boleh juga tidak. Sementalahan lagi mempelai sudahpun merancang belayar keluar negeri, berbulan madu, pada keesokan hari persandingan.  Pantang larang pengangun sudah tidak ada kesannya.

BETIMBANG ATAU BERSANDING PADA HARI INI

Hari ini Majlis Bersanding diurus oleh Perancang Perkahwinan professional.  Dari sekecil-kecil kerja hinggalah ke tugasan yang kompleks di awasi oleh Perancang Perkahwinan.  Tugas itu termasuklah penyediaan kem, kerusi meja, persajian, pakaian pengantin, pelaminan, musik latar dewan,  sistem siar raya, skren dan projector, hadiah untuk tetamu, fotografi dan videografi, lampu cucul, lampu dan bunga hiasan, kenderaan pengantin, kad jemputan dan banyak lagi.  Oleh sebab kerja-kerja majlis perkahwinan/persandingan itu diurus oleh perancang perkahwinan, maka banyaklah perubahan-perubahan berlaku yang jauh tersasar dari kebiasaan budaya tempatan.  Ada perlakuan budaya yang langsung tidak dipraktikkan.

Di bawah ini diberikan  contoh beberapa perubahan tersebut:

Kad jemputan:  Dulu undangan dibuat secara bersemuka. Pengundang hadir bertimpuh/bersila di hadapan orang  yang hendak diundang dan menyatakan hasrat mereka. “Abis bapa memohonkan abiskita……” Pada masa ini cara sedemikian sudah tidak dipraktikkan lagi.  Sebagai gantinya surat-surat jemputan diedarkan. Teknologi baru juga digunakan seperti sms, whatapp, videophone.

Satu hal yang ketara ialah timbulnya sensitiviti terhadap nama, gelaran dan terasul. Ada orang yang tidak bersedia untuk menghadiri undangan majlis perkahwinan hanya kerana di luar jemputan itu ejaan namanya salah atau terasulnya tiada.  Maka itu di surat jemputan pada hari ini  diletak perkataan “minta maaf jika berlaku kesalahan penulisan nama dan gelaran”.  Pembubuhan terasul ini bukan pekerjaan yang mudah.  Contohnya saja perkataan “Mulia”.  Di Negara Brunei Darussalam ada pelbagai jenis “mulia” mengikut kategeri susur-galur jawatan.  


“Yang Mulia” bagi orang Semananjung adalah terasul bagi kerabat diraja sementara di Negara Brunei Darussalam adalah terasul bagi orang biasa/orang kebanyakan.
“Yang Dimuliakan”  adalah terasul bagi Pehin-Pehin Manteri,
“Yang Dimuliakan lagi Dihormati “. Terasul ini hanya disandang oleh beberapa orang yang disampiri gelaran tersebut. (personal to holder)
“Yang Berhormat Mulia” Terasul ini ditujukan kepada ahli parlimen dan dalam masa yang sama adalah seorang berketurunan diraja.  Misalnya Yang Berhormat Mulia Tengku Ahmad Ridhauddin, mantan Menteri Luar Malaysia.
“Yang Amat Mulia”  adalah terasul bagi ceteria-ceteria.
“Duli Yang Teramat Mulia”  adalah terasul kepada wazir-wazir.
“Duli Yang Maha Mulia…..”  dikhususkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri.

Dalam satu majlis persandingan yang diadakan di hotel lima bintang di Kuala Lumpur bagi meraikan persandingan seorang anak Dato, sahabat saya, saya telah sempat mengambil beberapa gambar yang menunjukkan perarakan masuk pengantin ke dalam dewan didahului oleh seorang wanita kulit hitam yang berpakaian  tradisional bangsa itu diusung oleh empat orang yang berkulit hitam dan memakai baju hitam pula.

Saya tidak sempat bertanya apakah simbol dan signifikan yang hendak diketengahkan dalam majlis yang juga mengundang keberangkatan seorang sultan.  Sebelum tetamu dipersilakan menjamu selera, sebuah tazkirah disampaikan oleh seorang ilmuan ugama berdurasi kira-kira sepuluh minit.  Isi tazkirah itu ialah kepentingan mendirikan rumahtangga.  Tazkirah disampaikan dengan bahasa bersahaja dan tidak menjemukan.  Selepas itu diikuti oleh ucapan tuan rumah yang menggariskan sejarah hidup anak perempuannya yang sedang bersanding dan betapa dia terlalu sayang untuk melepaskan mengikut suaminya.  Namun hidup perlu diteruskan dan dia dengan rela melepaskan tanggungjawabnya pada anaknya itu bertukar kepada sang suami.

Dua minggu lepas, saya menghadiri satu lagi majlis perkahwinan anak perempuan seorang Dato di Kota Kinabalu.  Mempelai itu bersanding empat kali pada tarikh yang berlainan.  Sekali di Dewan Wanita untuk keluarga, sekali di sebuah hotel lima bintang di Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Yang Di Pertuan Negeri Sabah dan Menteri Pesekutuan, kemudian di tempat yang sama bagi keluarga lelaki dan di Sipitang bagi keluarga pihak perempuan.  Keempat-empat majlis itu diadakan secara mewah.

Saya cuba membandingkan majlis persandingan yang saya hadiri di Kuala Lumpur dengan yang diadakan di Kota Kinabalu. Banyak persamaannya.  Bezanya tidak ada tazkirah di Kota Kinabalu.  Yang ada ialah ucapan teman baik pengantin perempuan.  Dia bercerita tentang  sejarah persahabatannya berada di negara luar, tentang bibit cinta mempelai sehingga mengikat tali pertunangan.  Okey juga kecuali penceritaan itu yang dimulakan dengan bahasa hormat kepada Yang Dipertuan Negeri dalam Bahasa Melayu kemudian berubah ke dalam Bahasa Inggeris.  Tidak menjadi masalah kepada saya.  Saya memikirkan saudara mara terutama orang tua-tua yang datang dari kampung.  Mereka mendengar tapi tidak mengerti apa yang dibicarakan.  

Menjelang Majlis Akad Nikah bapa kepada pengantin perempuan juga merasa terkilan bagi melepaskan anak kesayangannya itu.  Namun kehidupan perlu diteruskan.  Dia pun menanyakan kepada anaknya yang berada di bilik berasingan samada dia (anaknya)  bersetuju kepada penikahan.  Sebelum menjawab

si anak mengulang kembali apa yang telah dilaluinya sejak kecil, kasih sayang yang dicurahkan, pendidikan yang diberikan dan sokongan ibu bapa ketika meningkat dewasa. Penceritaan itu dibuat secara langsung (live feed) dan dipancarkan di skren besar di hadapan dewan. Suara si anak sebak. Air mata menitis. Sekuen itu bagaikan sebuah drama televisyen apa lagi dewan dibanjiri oleh cahaya dari gobo yang berputar-putar dan berwarna warni.  Bagus juga saya cepat sedar.  Saya bukan merakam sebuah rancangan televisyen tetapi menghadiri perkahwinan anak saudara saya.

Di hotel lima bintang, dalam acara persandingan kali kedua,  saya mendengar hebahan-hebahan termasuk mempersilakan Tuan Yang Di Pertuan Negeri untuk beredar ke pentas menculiki badak dan kemudian balik ke tempat yang diperuntukkan.  Dalam hebahan itu saya terdengar penggunaan perkataan “santap” dan “keberangkatan”  yang di negeri saya biasanya ditujukan kepada kerabat diraja.  Saya kurang arif soal protokol di negeri Sabah.  Dalam hati hanya berkata:  ini negeri orang, bukan negara aku.

Ketika menikmati sajian, lampu dewan dimalapkan.  Maka ketaralah liuk-liuk lidah api dari dian yang diletakkan atas meja dan sepanjang laluan pengantin.  Ini candle light dinner.  Saya teringat cerita sebuah siri televisyen Kung Fu yang menempatkan dian di tempat pertapaan si Kung Fu.

Balik ke Negara Brunei Darussalam.  Saya juga sempat merakam di minda apa yang saya lihat dalam majlis perkahwinan anak jiran saya.  Bulan Rejab, Saaban, apa lagi di bulan Ramadhan adalah bulan-bulan di mana acara hiburan tidak diadakan oleh pihak Kerajaan.  Namun di majlis perkahwinan itu acara hiburan berlangsung setiap malam hampir seminggu.  Bukan berdundang, bershair atau bernaindung tetapi acara hiburan diisi dengan nyanyian karaoke di iring oleh tarian-tarian.  Siapa saja boleh turun ke pentas dan menari. Saya melihat ada seorang tua yang setiap malam berada di arena  tarian.  Dia begitu bertenaga.  Saya dekati dia dan tanya berapa umurnya. Katanya, umurnya sudah lapan puluh empat tahun.  Kalau begitu saya angkat tangan !

Majlis perkahwinan terbaharu yang saya hadiri berlangsung di sebuah dewan besar.  Acaranya juga sudah menghakis beberapa kegiatan budaya tradisional.   Mempelai diarak ke atas dewan.  Ada anak-anak kecil mengiring pengantin berpakaian pari-pari.  Ketika menjamu selera tamu-tamu dihiburkan oleh dua orang penyanyi terkemuka tanah air.  Tidak ada lagu-lagu tradisional.  Yang diperdengarkan ialah lagu-lagu lembut dan irama yang biasa didengar di majlis perkahwinan orang bukan orang Islam.

Mempelai diipersilakan turun ke meja khas.  Kata pengacara untuk Majlis Makan Beradap.  Seingat saya tidak ada Makan Beradap dalam majlis perkahwinan puak Brunei.  Yang ada ialah Majlis Makan Bersuap-Suapan.  Pengantin lelaki dan perempuan menyuapkan sajian secara serentak kepada pasangannya.  Ini lebih memesrakan keduanya dan menjadi kenangan indah sepanjang zaman.

PENUTUP

Nah inilah beberapa acara yang telah dan akan melunturkan unsur-unsur budaya Melayu.  Kalau tidak ditangani suatu masa nanti, cerita-cerita majlis perkahwinan tradisiopnal puak Melayu dan bangsa Melayu akan hanya menjadi bahan sejarah yang disimpan di muzium dan arkib dan cuma menimbulkan rasa nostalgik bila dipersembahkan sebagai acara dalam promosi pelancongan.

Rujukan:

Adat Perkahwinan Etnik-Etnik di Negara Brunei Darussalam susunan
Dk Norazah Pg Haji Muhammad dan Dyg Masnah Amit –Muzium-Muzium Brunei 2004

Bahasa Sastera Budaya
Mas Osman – DBP Brunei 2002

Adun Nan Alun Sebahtera – Antologi Shair dan Pantun
Dr Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah – DBP Brunei 2002

Adat Perkahwinan Orang Melayu Brunei di Mukim Saba
Haji Md Yusof bin Bakar – DBP Brunei – 2003

Kajian dan Himpunan Pantun Melayu Brunei Darussalam
Haji Zainulabidin Awang Bungsu -  DBP Brunei 2008

Liputan videografi peribadi

Beberapa laman sesawang perkahwinan puak Brunei.

Tiada ulasan:

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA